Translate

Wednesday, May 24, 2023

Unit Pusat TVET seragam kursus ditubuh Julai ini

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Unit Pusat Latihan Kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diwujudkan bagi menyelaraskan 1,290 institusi terlibat mulai sesi kemasukan Julai depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, unit tersebut berperanan menyeragam kursus dan sesi kemasukan kesemua institusi tempatan yang menawarkan kursus TVET.

Beliau berkata, Unit Pusat TVET itu yang melibatkan 12 kementerian akan diselaraskan sekretariat di bawah Kementerian Sumber Manusia bertujuan bagi mengoptimumkan pekerja tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan tenaga asing terutama dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

“Kita mahu mengelakkan persaingan penawaran kursus sama antara institusi TVET yang akhirnya akan memberi kesan kepada kadar kebolehanpasaran lepasannya.

“Ia selaras dengan saranan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mahu memastikan keberkesanan kos memandangkan kerajaan telah mengeluarkan peruntukan besar terhadap TVET,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) berkaitan kursus TVET antara Ketengah Holding Sdn. Bhd. dengan Hotel Seri Pacific dan Eastern Steel Sdn. Bhd.

Zahid berkata, penubuhan unit itu uga langkah strategik kerajaan bagi memastikan kebolehpasaran lepasan TVET mencapai 100 peratus.

“Buat masa ini, kadar kebolehpasaran lepasan TVET antara 70 hingga 98 peratus dan kita mahu kursus TVET ditawarkan mengikut kehendak industri sama ada perkilangan mahupun perkhidmatan.

“Gaji minimum lepasan TVET juga akan dinaikkan agar melepasi garis kemiskinan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment