Translate

Wednesday, May 24, 2023

Warga guru Terengganu cemerlang terima anugerah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyampaikan Anugerah Guru sebagai penghargaan terhadap dedikasi warga pendidik sempena sambutan Hari Guru yang disambut semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, anugerah tersebut akan disampaikan kepada golongan guru di beberapa negeri bermula di Terengganu.

“Anugerah tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sokongan terhadap pengorbanan warga guru dalam memartabatkan pendidikan negara selama ini.

“YGMB sebagai rakan strategik Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik termasuk yang sudah bersara,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Bertemu Pelanggan dan Aidilfitri JPN Terengganu di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis penyampaian anugerah tersebut yang disempurnakan Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Muie Ngah.

Wan Munadi berkata, seramai 28 guru cemerlang menerima Anugerah Guru Terengganu yang terbahagi kepada 27 kategori.

Tambah beliau, anugerah itu merangkumi empat kategori utama iaitu Guru Inovatif, Khas Pendidikan, Guru Berwibawa dan Ikon.

“Pemilihan pemenang anugerah ditentukan oleh JPN Terengganu dan elemen yang ditekankan ialah kepimpinan, kesukarelawan, dan pencipta kandungan digital.

“Pendidik cemerlang dalam kalangan guru pedalaman, orang kelainan upaya, Orang Asli dan pendidikan khas juga dihargai,” katanya.

Wan Munadi berkata, semua pemenang anugerah tersebut menerima hadiah wang tunai RM500 setiap seorang yang disumbangkan YGMB.

Beliau berkata, YGMB bakal menjelajah Pulau Pinang selepas ini untuk menyampaikan anugerah sama. – KOSMO! ONLINE


No comments:

Post a Comment