Translate

Saturday, May 6, 2023

Hakisan makin teruk Sabak Bernam, Tanjung Piandang berdepan risiko Tsunami

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Masalah hakisan pantai bukan sahaja menjejaskan negeri-ne­geri di Pantai Timur, malah turut melibatkan kawasan Pantai Barat Semenanjung khususnya Perak, Selangor dan Negeri Sembilan yang memiliki populasi padat.

Ia dikhuatiri menjejaskan 1.384 juta penduduk yang kini menghuni di 232 penempatan kawasan pesisiran pantai di tiga negeri terbabit.

Kepadatan penduduk persisiran pantai Perak, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka me­ningkat sehingga 1.521 juta menjelang tahun 2040.

Laporan Kajian Ha­kisan Pantai Negara 2015 me­nunjukkan, 179.5 kilometer (km) kawasan pesisi­ran pantai di tiga negeri berkenaan terjejas teruk akibat hakisan.

Ia merangkumi 42.16 peratus daripada keseluruhan 425.8km yang terkesan di seluruh negara.
Perak merupakan negeri pa­ling teruk terjejas di negara ini dengan 23.92 peratus, merangkumi 95.1km pesisiran pantainya yang terhakis.

Selangor dan Negeri Sembilan pula di tangga kelima dan keenam dengan masing-masing 74.6km dan 9.8km kawasan pantainya mengalami hakisan.

Antara kawasan pesisir pantai yang terjejas ialah Ban Pecah, Parit Buntar; Pantai Remis, Manjung dan Pantai Teluk Senangin di Perak.

Selain itu, hakisan turut dikesan di Pantai Remis, Kuala Selangor; Pantai Bagan Lalang, Sepang, Selangor serta Pantai Bagan Pinang, Pantai Saujana, Pantai Teluk Kemang dan Pantai Blue Lagoon, Port Dickson, Ne­geri Sembilan.


Ketua Pengarah Jabatan Pe­rancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia), Dr. Alias Rameli berkata, sebahagian kawasan terbabit turut terdedah dengan risiko kenaikan aras laut dan kejadian tsunami.

Katanya, Pelabuhan Klang dan barat laut Selangor mengalami ancaman kenaikan aras laut, manakala Tanjung Piandang, Pe­rak dan Sabak Bernam, Selangor pula berdepan risiko tsunami.

“Berdasarkan Indeks Kerapuhan Pantai Negara (NCVI) yang dikeluarkan baru-baru ini, sebanyak 10 Unit Perancangan Zon Pantai (UPZP) di Selangor dan empat di Perak merekodkan tahap kerapuhan sangat tinggi.

“Ini bermaksud, keadaan fizikal, sosial dan alam sekitar di kawasan pesisir pantai tersebut amat mudah rosak sekiranya diusik.

“Keadaan ini mendedahkan masyarakat di kawasan terbabit kepada impak bencana yang tidak dijangka,” katanya baru-baru ini.

Sehubungan itu, Alias memberitahu, sebarang pembangunan dan kemajuan di kawasan persisiran pantai berisiko terbabit perlu dilaksanakan dengan berhati-hati.

Tambah beliau, ia selaras de­ngan saranan Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara kedua (RPP-2) yang dikeluarkan PlanMalaysia baru-baru ini.

“Selain boleh mengancam penempatan manusia, aset-aset berharga seperti stesen janakuasa, menara penghantar dan kawasan pelancongan dianggar bernilai bilion ringgit berisiko terjejas jika pembangunan pantai terbabit tidak dikawal sebaik­ mungkin,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment