Translate

Monday, May 29, 2023

Budayakan semula aktiviti pelayaran

PADA zaman dahulu, muara Sungai Terengganu sentiasa sibuk dengan kehadiran kapal layar sama ada untuk urusan perdagangan mahupun rekreasi.

 Senario tersebut berkait gaya hidup masyarakat Terengganu pada zaman silam yang terkenal bukan sahaja sebagai nelayan, malah sebagai pedagang dan pelayar yang hebat. 

Buktinya, legasi pembuatan kapal layar tradisional bermutu tinggi masih terus diwarisi di Pulau Duyong, Kuala Terengganu. 

Begitupun, tradisi pelayaran dalam kalangan penduduk negeri ini kian pudar seiring dengan peredaran masa.

 Kerajaan negeri Terengganu pernah cuba menghidupkan semula muara Sungai Terengganu menerusi penganjuran Piala Monsun yang merupakan perlumbaan kapal layar bertaraf antarabangsa pada tahun 2005, namun ia terhenti sembilan tahun kemudian.

 Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghafar berkata, universiti tersebut yang berorentasikan maritim terpanggil untuk mempopularkan semula aktiviti pelayaran dalam kalangan rakyat Terengganu. 

“Besar harapan kami untuk melihat semula muara Sungai Terengganu yang luas dan indah ini kembali menjadi lokasi utama aktiviti pelayaran.

 “Ia sesuai dengan identiti Kuala Terengganu sebagai bandar raya pesisir pantai,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. 

Mazlan berkata, aktiviti pelayaran di sekitar Muara Sungai Terengganu dengan berlatar belakang Jambatan Angkat Kuala Terengganu juga mampu mengukuhkan lagi sektor pelancongan setempat.

 Jelas beliau, usaha untuk mengembalikan budaya pelayaran dalam kalangan komuniti setempat akan dirintis Pusat Latihan Pelayaran (PLP) UMT yang telah dirasmikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin baru-baru ini. 

“PLP UMT bertanggungjawab merangka modul pengajaran bagi menarik minat komuniti setempat bagi menyertai aktiviti pelayaran. 

“Kita akan membetulkan semula persepsi ramai sebelum ini yang mengandaikan pelayaran merupakan aktiviti rekreasi elit yang menelan belanja mahal,” katanya. 

Mazlan menjelaskan aktiviti pelayaran sebenarnya mampu milik dan UMT bersedia untuk menyediakan jurulatih yang berkebolehan bagi memupuk minat terbabit. 

Sehubungan itu, beliau berharap visi berkenaan mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri Terengganu. 

“Kami berharap Pusat Pelayaran UMT dapat dibenarkan untuk menggunakan fasiliti dan aset kapal layar yang pernah digunakan dalam penganjuran Piala Monsun.

 “Aset dan fasiliti itu kini berada di bawah simpanan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu sejak berakhirnya penganjuran Piala Monsun pada tahun 2014,” katanya. 

Mazlan berkata, biarlah aset dan fasiliti ini digunakan semula bagi menarik minat rakyat Terengganu mendalami sukan pelayaran. 

Sementara itu, Pengarah Pusat Latihan Pelayaran UMT, Mohd. Hafizi Said berkata, aktiviti pelayaran akan memberi kemahiran kompetensi tambahan kepada komuniti setempat. 

Jelas beliau, kemahiran pelayaran bukan acara sukan semata-mata, sebaliknya boleh membuka peluang pekerjaan dalam bidang marin seperti menjadi nakhoda kapal layar. 

“Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap sosioekonomi kepada komuniti setempat,” katanya.

No comments:

Post a Comment