Translate

Tuesday, May 30, 2023

Cuaca panas ancam populasi penyu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA NERUS – Cuaca panas disebabkan fenomena El Nino yang dijangka berlarutan sehingga bulan September depan dikhuatiri akan menjejaskan populasi penyu sebagai antara haiwan diancam kepupusan. 

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, suhu panas mencecah 37 darjah Celsius pada masa ini boleh mempengaruhi jantina anak penyu yang menetas. 

Beliau menerangkan, suhu rendah di bawah 29 darjah Celsius diperlukan sepanjang proses pengeraman bagi menghasilkan anak penyu jantan. 

“Sebaliknya, sekiranya proses pengeraman berlaku sewaktu melebihi suhu 31 darjah Celsius, biasanya yang akan menetas adalah anak penyu betina. 

“Sejak musim penyu bertelur pada bulan lalu, anak penyu yang menetas di Pusat Konservasi Penyu Chagar Hutang, Pulau Redang dekat sini kesemuanya betina,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

 Mohd. Uzair berkata, kekurangan penyu jantan tersebut dikhuatiri boleh menjejaskan populasi haiwan reptilia terbabit pada masa depan. 

Jelas beliau, kesan kekurangan induk jantan ini dijangka akan mula dirasai dalam tempoh 20 hingga 30 tahun lagi kerana pada usia itulah seekor penyu bersedia untuk mengawan. 

“Penyu betina tetap akan mendarat untuk bertelur biarpun ketiadaan penyu jantan tetapi telur itu tidak akan menetas kerana gagal disenyawakan. 

“Sebenarnya kesan kekurangan induk penyu jantan ini sudah mula dirasai sejak kebelakangan ini dengan semakin banyak telur penyu yang dieram didapati tidak menetas,” katanya. 

Mohd. Uzair berkata, antara kes popular ialah kesemua 92 biji telur penyu belimbing yang terakhir mendarat di Pantai Jambu Bongkok, Marang pada tahun 2017 tidak berjaya menetas ekoran ketiadaan benih induk jantan. 

Tambah beliau, inisiatif seperti memasang teduhan pada sarang penyu perlu dilakukan mengurangkan haba pancaran matahari sepanjang tempoh 40 hari pengeraman telurnya. 

“Kajian UMT pada tahun 2021 mendapati tanpa bantuan teduhan, tiada seekor pun anak penyu jantan menetas jika dibiarkan dieram di kawasan terbuka bagi elak perkara tidak diingini,” jelasnya

No comments:

Post a Comment