Translate

Friday, May 12, 2023

Anak pasangan maut kemalangan masih dirawat ICU

 

KUALA TERENGGANU – Anak sulung pasangan Che Ku Yusof Ali Che Ku Embong, 52, dan Siti Faridaf Ahmad, 46, yang terkorban dalam kemalangan ngeri Jumaat lalu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HNNZ) di sini. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd. Zaki Wan Ismail berkata, Che Ku Batrisya, 18, mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dan kedua-dua tangan serta kakinya. 

“Selain ibu bapa mangsa yang maut di lokasi kejadian, kemalangan itu turut mengorbankan pemandu bas ekspres terlibat iaitu, Nik Nordin Jusof, 51. 

“Lelaki itu (Nik Nordin) menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan di ICU HNSZ pada pukul 4.02 pagi semalam (kelmarin),” katanya. 

Wan Mohd. Zaki berkata, sewaktu kejadian, keluarga Che Ku Yusof Ali dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfittri di Felda Belara, Kuala Nerus dari rumah mereka di Seri Bandi, Kemaman. 

Tambah beliau, bas ekspres dipandu Nik Nordin pula dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang dari Kota Bahru, Kelantan. 

“Jenazah Che Ku Yusof Ali dan Siti Faridaf selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Belara. 

“Selain itu, jenazah Nik Nordin pula telah diserahkan kepada keluarganya di Pulau Melaka, Kota Bahru, Kelantan,” katanya. Kosmo! Jumaat lalu melaporkan kereta Perodua Myvi dinaiki tiga beranak bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 21.8 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus. 

Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca selepas kereta Perodua Myvi dipandu Che Ku Yusof Ali tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

No comments:

Post a Comment