Oleh MOHD AZLI ADLAN
PERSEKITARAN Terowong Bukit Tebuk, Dungun, Terengganu yang dahulunya sepi dan kurang terurus hingga disangkakan ‘berhantu’ telah mengalami transformasi 360 darjah sejak awal Februari lalu.
Kerja-kerja naik taraf pencahayaan dan landskap taraf terowong bersejarah terbabit telah dilaksanakan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dengan kos RM200,000, manakala selenggaraannya di bawah tanggungjawab Majlis Daerah Dungun.
Transformasi lanskap kawasan dan pencahayaan lampu berwarna-warni pada waktu malam tersebut telah menggamit kehadiran ramai pengunjung termasuk pelancong di lokasi berkenaan.
Mereka teruja berswafoto berlatarbelakangkan terowong terletak di pinggir Kampung Nibong Kubur itu sebelum memuat naiknya di media sosial masing-masing.
Kuasa tular kemudiannya pantas mempopularkan Terowong Bukit Tebuk sebagai destinasi tumpuan pelancong terbaharu di Dungun.
Lokasi itu turut menjadi antara tumpuan untuk merakam momen mengabadikan kenangan berpakaian raya bersama sanak saudara dan sahabat-handai pada Syawal lalu.
Salah seorang anak jati Dungun, Wan Nur Isma Wan Azman, 32, berkata, sebelum ini, Terowong Bukit Tebuk sepanjang 143 meter tersebut hanyalah laluan alternatif biasa buat penduduk setempat untuk ke pusat bandar Dungun.
“Saya juga salah seorang yang pernah beberapa kali melaluinya sebagai jalan pintas sewaktu kecil, namun tidak sedar ia sebenarnya merupakan salah satu khazanah berharga daerah ini.
“Terowong tersebut salah satu sisa sejarah yang masih tinggal membuktikan perlombongan bijih besi pernah menjadi nadi ekonomi daerah Dungun pada era 1930-an hingga 1970-an,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.
Wan Nur Isma berkata, dia juga tidak menyangka laluan terowong bertar tersebut asalnya merupakan rel kereta api pengangkut bijih besi dari Bukit Besi ke pelabuhan yang terletak di Pengkalan Nibong di sini.
Tambah ibu kepada dua anak itu, sama seperti tapak pelabuhan, rel kereta api di dalam Terowong Bukit Tebuk sudah pupus dalam lipatan sejarah sejak tahun 1970-an.
“Sehubungan itu, saya sebagai anak jati Dungun menghargai usaha kerajaan untuk mengindahkan semula monumen terbabit.
“Ia mendorong ramai tertarik mengunjunginya dan secara tidak langsung mendedahkan semula fakta sejarah kurang didendang khususnya kepada generasi muda,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Dungun, Wan Mohd. Rosli Wan Ngah berkata, Terowong Bukit Tebuk dibina syarikat Nippon Mining Company yang memegang konsesi perlombongan bijih besi di Bukit Besi sebelum zaman penjajahan Jepun.
Beliau berkata, sebuah bukit yang terletak di pinggir Kampung Nibong Kubur telah ditebuk bagi menyambung rel kereta api yang sudah dibina dari Bukit Besi hingga Kampung Che Lijah berhampiran.
“Pembinaan terowong tersebut dapat memendekkan masa mengangkut bijih besi menggunakan kereta api ke pelabuhan Pengkalan Nibong yang tapaknya kini terletak di Sura, Dungun.
“Kerja-kerja menebuk bukit bagi membina terowong kereta api berkenaan telah bermula pada tahun 1932 sebelum siap sepenuhnya empat tahun kemudiannya iaitu 1936,” ujarnya.
Wan Mohd. Rosli berkata, terowong tersebut telah dipasang dengan konkrit bagi menjadikan ia lebih kukuh dan mengurangkan risiko mudah runtuh.
Jelas beliau, terowong tersebut dinamakan Terowong Bukit Tebuk berikutan pembinaan perlu menebuk sebuah bukit di lokasi berkenaan.
“Keunikannya terowong ini pada sisi dalamnya terdapat dua lubang seakan-akan bilik masing-masing di bahagian kanan dan kiri.
“Fungsinya bagi membolehkan orang ramai berlindung di dalamnya sekiranya berselisih dengan kereta api,” katanya.
Wan Mohd. Rosli berkata, pada zaman kegemilangan industri bijih besi di Bukit Besi, terowong tersebut menjadi saksi beratus ribu tan logam tersebut diangkut untuk dieksport ke luar negara.
Cerita beliau, fungsi terowong kereta api terbabit berjalan selama lebih kurang 40 tahun sebelum menghadapi zaman kegelapan seiring penutupan industri bijih besi berskala besar di Bukit Besi pada 8 September 1971.
“Eastern Mining and Metal Company (EMMCO) yang mengambil alih konsesi perlombongan bijih besi di Bukit Besi kemudiannya menanggalkan rel kereta api yang terdapat di terowong tersebut.
“Sebahagian rel kereta api terbabit telah dibawa pengurusan EMMCO untuk dipasang di kawasan perlombongan bijih besinya yang baharu di Australia,” ujar beliau.
Wan Mohd. Rosli berkata, laluan Terowong Bukit Tebuk tersebut kemudiannya ditar untuk kegunaan kenderaan biasa sebagai jalan pintas ke pusat bandar Dungun.
No comments:
Post a Comment