Translate

Tuesday, May 23, 2023

12 pesakit tibi lari rawatan dikenakan tindakan perundangan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Pesakit tibi boleh dikenakan tindakan perundangan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sekiranya gagal mematuhi jadual rawatan ditetapkan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, seramai 12 pesakit tibi termasuk dua orang pada tahun lalu telah dikenakan tindakan perundangan tersebut ekoran keculasan mereka menjalani rawatan.

Beliau berkata, ketegasan tersebut membuktikan keseriusan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menamatkan epidemik tibi menjelang tahun 2035.

“Kita mempunyai mekanisme untuk mengesan pesakit yang berhenti mengambil rawatan (tibi). Sekiranya gagal dihubungi menerusi panggilan telefon atau mesej, pegawai (kesihatan) akan mencari ke rumah.

“Sekiranya tidak dapat, kita akan menggunakan akta sedia ada untuk membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Tibi peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Individu yang ingkar Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Lukanisman berkata, KKM juga mempunyai sukarelawan yang berperanan membantu pihaknya untuk melakukan saringan dan mengesan pesakit tibi dan kontrak rapat mereka.

Beliau berkata, pesakit tibi memerlukan rawatan kombinasi empat jenis antibiotik secara berterusan selama enam bulan. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment