Translate

Wednesday, May 24, 2023

Khemah program CSR agensi kerajaan musnah dipukul ribut

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Persiapan sebuah program anjuran anak syarikat kerajaan negeri Terengganu terganggu apabila sebahagian besar khemah dan pentas utamanya rosak dipukul ribut di Kampung Padang Mengkuang di sini semalam.

Kejadian ribut selama beberapa minit bermula pukul 3.30 petang itu turut menjejaskan rumah sebahagian penduduk di sekitar Pengkalan Berangan dan Bukit Payung di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, sewaktu kejadian, beberapa pekerja syarikat penyediaan khemah berada di lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja akhir persiapan program tersebut.

“Saya dimaklumkan kepala angin tiba-tiba menghentam sebahagian struktur khemah dan pentas utama yang sudah siap dipasang sejak kelmarin.

“Mujur pekerja terbabit sempat mengelak bagi menyelamatkan diri daripada dihempap struktur khemah yang diterbangkan ribut berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sulaiman berkata, pihak kontraktor bersetuju untuk menggantikan khemah baharu dengan segera bagi membolehkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan TDM bersama Masyarakat tersebut dapat diteruskan.

Tambahnya, beliau dimaklumkan kerugian yang dialami pihak kontraktor penyediaan khemah akibat ribut terbabit mencecah puluhan ribu ringgit. – KOSMO! ONLINE


No comments:

Post a Comment