Translate

Sunday, May 14, 2023

Lebuh raya sesak selepas subuh

PETALING JAYA – Jumlah kenderaan di lebuh raya utama semakin bertambah selepas subuh semalam apabila orang ramai memulakan perjalanan pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

 Tinjauan Kosmo! menerusi laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan jumlah kenderaan yang melalui Lebuh Raya Utara-Selatan pagi semalam bertambah di kedua-dua arah. 

Menurutnya, aliran trafik juga dilaporkan mengalami kesesakan di beberapa tempat. 

“Aliran trafik menuju ke utara tanah air dilaporkan sesak di Kilometer (KM) 339.9 dari Bidor ke Tapah. Bagi arah selatan pula, trafik sesak di KM274.3 bermula dari Seremban,” lapornya.

 Aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) juga mulai sesak dengan kenderaan mulai awal pagi semalam. 

Dianggarkan 75,000 kenderaan pengguna yang mahu pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri telah memasuki lebuh raya tersebut. 

Tinjauan di Plaza Tol Kuala Terengganu yang terletak Kampung Gemuroh di Kuala Nerus semalam mendapati, kesesakan berlaku lebih lima kilometer. 

Aliran trafik tidak bergerak kira-kira dua kilometer sebelum persimpangan susur masuk plaza tol terakhir LPT 2 berkenaan. 

Tinjauan mendapati, aliran trafik juga perlahan di beberapa lokasi di sepanjang lebuh raya berkenaan seperti susur masuk Bukit Besi dan Kuala Dungun serta Chukai, Kemaman. 

Kawasan hentian serta Rehat dan Rawat (R&R) seperti Paka serta Perasing juga sesak. 

Sementara itu, aliran trafik pada pukul 8.10 pagi semalam di beberapa kawasan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) turut berlaku kesesakan bermula di laluan masuk Plaza Tol Gombak dan bergerak perlahan sehingga LPT1. 

Lebih 18 juta perantau dilaporkan mula bergerak pulang ke kampung mulai Rabu lalu. 

Peningkatan jumlah kenderaan dijangka berterusan sehingga hari ini.

No comments:

Post a Comment