Translate

Tuesday, May 30, 2023

TSM labur RM500 juta untuk silika

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

MARANG – Terengganu bakal menjadi pengeluar produk Cristobalite dan Ultra Purity Silica pertama di rantau Asia dan Oceania berikutan pembangunan industri pertengahan silika tersebut di kawasan perindustrian Merchang di sini menjelang suku kedua tahun hadapan. 

Pengerusi Terengganu Silica (Marang) Sdn. Bhd. (TSM), Tengku Baharuddin Sultan Mahmud berkata, pengeluaran produk Cristobalite dan Ultra Purity Silica tersebut melibatkan pelaburan RM500 juta. 

Beliau berkata, kawasan tapak perindustrian di mukim Merchang seluas 1,000 hektar telah dikenal pasti memiliki deposit silika berkualiti mencapai tahap 99.9 peratus bagi pembuatan Cristobalite dan Ultra Purity Silica terbabit. 

“Cristobalite dan Ultra Purity Silica merupakan produk pertengahan industri silika yang mendapat permintaan tinggi dalam pembuatan produk kaca teknologi maju. 

“Projek tersebut akan melibatkan dua fasa iaitu pengeluaran material Ultra Purity Silica dijangka bermula suku kedua 2024, manakala Cristobalite pula pada tahun 2027,” katanya pada majlis pecah tanah projek tersebut di Kawasan Perindustrian Merchang di sini semalam. 

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah terbabit. Tengku Baharuddin berkata, pembangunan industri pertengahan silika itu turut melibatkan pembinaan sebuah terminal pengangkutan dan pemunggahan produk terbabit di kawasan pesisir pantai berhampiran. 

Jelas beliau, kawasan perindustrian berkenaan dijangka mampu mengeluarkan 2.6 juta tan metrik Cristobalite dan Ultra Purity Silica setiap tahun apabila ia beroperasi sepenuhnya kelak. 

“Sebanyak 40 peratus pengeluaran Cristobalite dan Ultra Purity Silica itu disasar untuk dipasarkan kepada pemain industri produk berasaskan kaca teknologi maju tempatan. 

“Baki pengeluaran pula akan dieksport dan permintaan tempahan sudah diperolehi daripada pemain industri dari Taiwan, Jepun dan Korea Selatan,” katanya.

 Begitupun bagi jangka panjang, Tengku Baharuddin menyasar TSM mampu menarik pelaburan asing (FDI) untuk membuka kilang hiliran industri silika di negara ini khususnya di Pantai Timur. 

Selain itu, beliau juga memberi jaminan bahawa pengeluaran Cristobalite dan Ultra Purity Silica tersebut adalah mesra alam kerana syarikat menerapkan amalan pengeluaran hijau dan lestari selain menggunakan automasi pintar.

No comments:

Post a Comment