Translate

Wednesday, May 31, 2023

Ramai jadi korban air ketika musim panas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

KUALA TERENGGANU –Keghairahan orang ramai untuk berkunjung dan mandi-manda di kawasan air terjun, sungai dan pantai semata-mata untuk meredakan bahang cuaca panas telah mencetuskan tragedi yang meragut banyak nyawa. 

Situasi berlaku apabila jumlah pengunjung di lokasi-lokasi pelancongan berasaskan air khususnya di Terengganu menunjukkan peningkatan mendadak sejak kebelakangan ini sehingga aspek keselamatan tidak lagi menjadi keutamaan. 

Berdasarkan data Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, seramai sembilan individu dilaporkan telah meninggal dunia akibat kejadian lemas di seluruh negeri ini sejak Februari lalu. 

Pengarahnya, Hassan ‘As’ari Omar berkata, jumlah itu adalah daripada 25 individu yang terlibat dalam pelbagai kes kecemasan ketika sedang mandi-manda di sungai, air terjun mahupun pantai di negeri ini.

 “Kawasan air terjun, sungai dan pantai memang menjadi tumpuan orang ramai sejak kebelakangan ini semata-mata untuk mengurangkan bahang susulan gelombang panas yang melanda negara ketika ini.

 “Malangnya, aspek keselamatan sering kali diabaikan sehingga merisikokan ramai pihak. 

“Di negeri ini sahaja, sembilan individu disahkan meninggal dunia akibat lemas, manakala seorang lagi cedera dan yang lain berjaya diselamatkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini. 

Hassan ‘As’ari berkata, lebih mengecewakan apabila ada segelintir individu yang ghairah mandi-manda di kawasan air terjun dan pantai tetapi langsung tidak memperdulikan papan tanda amaran yang dipasang oleh pihak berkuasa.

 “Apa yang kita bimbangkan adalah kawasan perkelahan yang mempunyai air terjun dan sungai akan menjadi tumpuan orang ramai pada musim cuti persekolahan yang bermula Jumaat lalu.

 “Amaran menerusi papan tanda mungkin tidak memberi kesan dan bagi memastikan pngunjung mematuhi keselamatan, kita akan hantar anggota dan pegawai ke kawasan aktiviti air popular yang berisiko untuk melakuan pemantauan. 

“Kita juga akan menggiatkan kempen kesedaran kepada pengunjung agar mereka lebih berhati-hati,” katanya. 

Hassan ‘As’ari berkata, tumpuan akan diberikan terhadap 22 lokasi air terjun, sungai dan pantai yang telah dikenal pasti sebagai berisiko tinggi di seluruh Terengganu. 

Tambah beliau, antara lokasi itu ialah Hutan Simpan Hulu Paka, Air Terjun Tasik Puteri, Bukit Besi dan Lubuk Kain, Kampung Shukor, Dungun.

 “Selain itu, Pantai Teluk Bidara dan Pantai Teluk Lipat, Dungun serta Pantai Kekabu, Marang. “Air Terjun Sekayu dan Belukar Bukit, Hulu Terengganu, Air Terjun Lata Tembakah, Besut; Pantai Kampung Baru Penarik, Setiu dan Pantai Pandak, Kuala Terengganu,” katanya. 

 Dalam pada itu, rata-rata pengunjung taman rekreasi di negeri ini melahirkan rasa bimbang dengan trend orang ramai yang semakin kerap mengunjungi kawasan air terjun dan sungai pada musim panas. 

Menurut mereka, aktiviti mandi-manda di air terjun dan sungai sepatutnya dilakukan sekali dalam tempoh seminggu atau dua minggu dan bukannya dijadikan aktiviti harian sehingga boleh mengundang risiko. 

“Biasanya kes lemas ini banyak melibatkan kumpulan pengunjung yang ramai seperti pelajar ataupun keluarga. Apabila ramai, ada yang suka bergerak sendiri termasuk mandi di kawasan dalam dan berbahaya. 

“Risikonya sangat tinggi kerana apabila terjadi sesuatu, ahli keluarga atau rakan yang lain sukar memberi bantuan ataupun pertolongan awal kepada mangsa yang terlibat,” kata penduduk dikenali Mohd. Yassin, 43, dari Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment