Translate

Wednesday, May 31, 2023

Sejarah lengkap perlombongan di Muzium Bukit Besi

BUKIT BESI yang terletak kira-kira 33 kilometer dari bandar Dungun, Terengganu pernah menjadi pusat perlombongan bijih besi terbesar di Asia Tenggara.

 Mengikut sejarahnya, bijih besi di kawasan itu dijumpai ahli kaji bumi Jepun dikenali sebagai Kuhara pada tahun 1916 sebelum syarikatnya, Kuhara Mining Limited diberi lesen oleh kerajaan negeri Terengganu untuk memulakan aktiviti perlombongan pada Mei 1930. 

Sebuah syarikat Jepun lain, Nippon Mining Company seterusnya telah mengambil alih konsesi perlombongan bijih besi sembilan tahun kemudian. 

Bukit Besi semakin berkembang pesat membangun apabila operasinya yang diambil alih pula oleh syarikat Britain, Eastern Mining Metal Company (Emmco) pada tahun 1950.

 Sewaktu zaman kegemilangannya itu, Bukit Besi muncul antara bandar paling maju di Terengganu dengan lengkap insfrastruktur dan menarik tenaga kerja Eropah sebelum operasi perlombongan bijih besi itu ditutup sepenuhnya pada tahun 1971. 

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu (Ketengah), Tengku Datuk Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, pada masa ini, Bukit Besi yang merupakan pekan kecil termasuk dalam wilayah agensi itu.

 Beliau berkata, selain Terowong Bukit Tebuk di Kampung Nibung Kubur, Dungun, beberapa tinggalan perusahaan bijih besi seperti stesen simpanan bahan letupan, simpanan bijih besi, peleburan bijih besi dan kolam renang masih boleh dilihat sehingga hari ini. 

“Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah menerusi Ketengah telah mengambil inisiatif membuka Muzium Bukit Besi yang beroperasi secara rasmi mulai 15 Oktober 2021.

 “Muzium terbabit menghimpunkan koleksi khazanah dan maklumat lengkap berhubung perlombongan bijih besi di Bukit Besi,” katanya kepada Panorama baru-baru ini. 

Sehubungan itu, Tengku Ahmad Nadzri menjemput orang ramai khususnya peminat sejarah agar menelusuri sejarah perlombongan logam terbabit di Muzium Bukit Besi.

No comments:

Post a Comment