Translate

Tuesday, May 23, 2023

Pulau Bidong digazet Taman Negeri keempat Terengganu

 


Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Pulau Bidong yang pernah menjadi penempatan Orang Hanyut Vietnam selama hampir dua dekad sehingga tahun 1991 bakal digazetkan sebagai Taman Negeri Terengganu menjelang bulan September depan.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, penggazetan sebagai taman negeri bertujuan memaksimumkan potensi pelancongan di samping melestarikan khazanah flora, fauna dan warisan sejarah yang terdapat di pulau berkenaan.

“Pulau Bidong merupakan Taman Negeri Terengganu keempat selepas Kenyir, Hulu Terengganu; Tanah Bencah Setiu dan Pulau Tenggol, Dungun.

“Proses pewartaannya dijangka selesai pada bulan Julai depan sebelum (pejabat cawangan Taman Negeri Terengganu) beroperasi sepenuhnya di pulau ini dua bulan kemudian,” katanya selepas meninjau Pulau Bidong di sini hari ini.

Tun Ahmad Faisal berkata, selain tinggalan warisan Orang Hanyut Vietnam, Pulau Bidong juga menawarkan destinasi selaman skuba antara terbaik di Terengganu.

Tambah beliau, perairan Pulau Bidong yang kaya dengan terembu karang memiliki 36 kawasan selaman skuba.

“Produk terbaharu selaman skuba ditawarkan ialah segmen arkeo-pelancongan bawah air bagi menerokai kapal perdagangan berusia kira-kira 500 tahun yang karam di dasar perairan Pulau Bidong.

“Selain itu, dasar laut pulau ini juga mempunyai monumen 11 mercu tanda terkenal negara Asean,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment