SETIU – Peminat air buah D’Flora di sekitar daerah ini dapat kembali merasai keenakan air tangan pelayan dikenali sebagai Darlene Adrienne setelah restoran yang terletak di Kampung Saujana di sini kembali beroperasi sejak beberapa hari lalu.
Sebelum ini, restoran itu ditutup sementara sepanjang Ramadan bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada cawangan sementaranya di Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu.
Tinjauan Kosmo! kelmarin mendapati, orang ramai mula mengunjungi restoran tersebut yang beroperasi di antara pukul 1 tengah hari hingga 1 pagi.
Pelanggan yang kebanyakannya memesan air buah, selain makanan ala Thai tidak terhad dalam kalangan lelaki, malah juga wanita yang sudah berkeluarga.
Sebahagian yang pertama kali mengunjungi restoran itu teruja berswafoto dengan Darlene, 32, yang pernah mencetuskan kontroversi pada tahun lalu.
Seorang pelanggan, Maisarah Abdul Halim, 34, berkata, dia dan keluarga yang dalam perjalanan pulang ke Kuantan, Pahang dari Pasir Puteh, Kelantan singgah ke Restoran D’Flora.
“Kebetulan restoran ini sehala dengan laluan saya pulang selepas beraya. Kami singgah untuk rehat bagi melepaskan dahaga.
“Ini kali pertama kami mengunjungi restoran ini. Saya lihat Darlene tekun mengisar air buah dipesan pelanggan. “Dia juga mesra melayan pelanggan tanpa memilih lelaki mahupun perempuan,” katanya.
Sebelum ini, restoran air buah tersebut menjadi tular setelah Darlene mencetuskan kontroversi apabila video adegan dirinya dipeluk beberapa pelanggan lelaki tersebar di media sosial.
Rentetan itu, restoran berkenaan diserbu sepasukan anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu pada Julai tahun lalu.
Insiden itu membuatkan Darlene insaf dan mengambil pengajaran atas apa yang berlaku.
No comments:
Post a Comment