Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Pembangunan dan tebus guna tanah yang padat punca berlakunya hakisan pantai yang teruk di Pantai Barat, khususnya di Perak dan Selangor.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, tebus guna tanah tanpa kawalan menyebabkan kawasan terbabit menjadi amat rapuh.
Menurutnya, ini sekali gus meningkatkan risiko bencana alam luar jangkaan yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan penduduk setempat.
“Banyak kawasan paya bakau terutama di muara sungai terancam dengan kepupusan, sedangkan ia merupakan perisai pertahanan utama pantai.
“Senario itu secara tidak langsung boleh meningkatkan dinamik pantai yang mendorong kepada perubahan landskap pesisirannya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Effi Helmy berkata, kawasan persisiran pantai khususnya di utara Perak, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam serta Port Dickson, Negeri Sembilan juga amat terdedah dengan pengaruh air pasang besar.
Beliau yang juga pakar penyelidikan hakisan pantai berkata, air pasang besar yang membawa ombak tinggi merupakan agen utama pemusnah landskap persisiran pantai.
“Geomorfologi kawasan persisiran pantai terlibat juga mudah terdedah dengan pengaruh dinamik pantai.
“Itu pun, persisiran pantai di Pantai Barat khususnya sebahagian Perak dan Selangor tetap berhadapan dengan ancaman hakisan biarpun tidak terdedah dengan laut lepas seperti di Pantai Timur,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pembangunan di persisiran pantai terlibat dilakukan dengan berhati-hati.
No comments:
Post a Comment