Translate

Friday, May 26, 2023

Padam nombor bot, curi ikan di Malaysia

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Nelayan Vietnam dikesan memadamkan sebahagian nombor pendaftaran bot masing-masing bagi mengelirukan pihak berkuasa ketika menceroboh perairan negara ini. 

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander (M) Rashidilhadi Ab. Rashid berkata, tindakan nelayan asing terbabit adalah taktik baharu yang dikesan pihaknya.

 “Sejak akhir-akhir ini, kita mengesan sebahagian nombor pendaftaran pada badan bot nelayan Vietnam yang ditahan telah dipadamkan dengan sengaja,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini semalam. 

Menurutnya, modus ope randi itu dikesan selepas Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga buah bot nelayan Vietnam pada kedudukan 123 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu pada Jumaat lalu.

 Katanya, tiga buah bot yang dinaiki 41 nelayan berusia 21 hingga 44 tahun itu yang bergerak secara beriringan telah ditahan di antara pukul 10 pagi sehingga pukul 10.30 pagi. 

“Sewaktu ditahan, kami percaya mereka baru selesai menarik pukat untuk menangkap ikan secara haram di perairan negara.

 “Ketiga-tiga bot ini juga dipercayai baru memasuki perairan negara berdasarkan kedudukan mereka hanya 20 batu nautika dari sempadan perairan antarabangsa,” katanya.

 Rashidilhadi berkata, siasatan awal percaya ketiga-tiga bot itu sebenarnya dalam perjalanan ke Kepulauan Natuna, Indonesia juga untuk menjarah hasil laut. 

Katanya, 100 kilogram ikan campur, 1,500 liter minyak diesel dan peralatan menangkap ikan bernilai keseluruhan RM4.5 juta telah disita daripada ketiga-tiga bot ber kenaan. 

“Kesemua 41 nelayan Vietnam itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan perjalanan serta permit kerja yang sah. 

“Ketiga-tiga bot juga tidak mempunyai kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara. Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963,” katanya. 

Beliau berkata, APMM telah menjalin kerjasama strategik bersama pihak berkuasa Vietnam dengan melaporkan setiap bot nelayan negara itu yang berjaya ditahan kerana menangkap ikan secara haram di perairan negara. 

“Ia bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan turut diambil oleh pihak berkuasa negara jiran,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment