Translate

Tuesday, May 30, 2023

Pelajar UniSZA maut, motosikal bertembung dalam kampus

KUALA NERUS – Perjalanan seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke Festival Kokurikulum berakhir dengan tragedi selepas dia maut dalam kemalangan melibatkan dua motosikal di dalam kampus universiti tersebut di sini kelmarin. 

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, mangsa, Wan Muhamad Azhar Izzudin W. Abdul Razak, 21, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

 Dua lagi mangsa iaitu Mohd. Shaznur Alif Ramli dan Azhar Zaidi yang kedua-dua berusia 23 tahun cedera parah. 

Difahamkan sewaktu kejadian, Wan Muhamad Azhar Izzudin yang merupakan pelajar Fakulti Pengajian Kontemporari Islam dalam perjalanan ke Dewan Al Muktafi Billah Shah, UniSZA untuk menghadiri majlis perasmian Festival Kokurikulum. 

Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mangsa dikatakan bertembung dengan motosikal dinaiki Mohd. Shaznur Alif dan Azhar.

 Impak kemalangan menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak ke tengah jalan. 

Mayat Wan Muhamad Azhar Izzudin telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. 

Mohd. Shaznur Alif dan Azhar juga dikejarkan ke hospital sama. 

Pejabat Naib Canselor UniSZA mengucapkan takziah atas kemalangan tersebut dan menangguhkan majlis perasmian Festival Kokurikulum berkenaan.

No comments:

Post a Comment