Translate

Monday, May 29, 2023

TDM miliki 2 loji jana kuasa biogas

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Kumpulan TDM Berhad (TDM) menerusi anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. memiliki dua loji jana kuasa biogas yang mampu menghasilkan 29,784,000 kilowatt per jam (kWj) tenaga boleh diperbaharui setiap tahun.

Pengerusi TDM, Tengku Datuk Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, projek loji jana kuasa biogas terbabit terletak di kilang minyak kelapa sawit milik Kumpulan di Kampung Padang Kubu di sini dan Sungai Tong, Setiu.

“Dua loji jana kuasa biogas yang menelan belanja hampir RM50 juta itu beroperasi sepenuhnya pada Jun 2020. Operasinya menggunakan sistem lagun tertutup yang mampu menjana 2 MegaWatt (MW) setiap jam ke grid Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya selepas menyaksikan majlis perasmian Loji Jana kuasa Biogas TDM di Kampung Padang Kubu di sini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan perasmian loji janakuasa biogas tersebut hari ini.

Tengku Farok Hussin berkata, TDM yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu bekerjasama dengan Concord Biotech Sdn. Bhd. bagi pembangunan loji jana kuasa berasaskan tenaga yang boleh diperbaharui.

Beliau berkata, pembinaan loji jana kuasa biogas tersebut merupakan salah satu strategi TDM untuk mengoptimumkan pengurusan rawatan efluen kilang sawit sekali gus mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

“Ia juga bertujuan mengurangkan jejak karbon bagi memacu pembangunan mampan. Inisiatif berdasarkan teknologi hijau ini akan dapat memastikan penjagaan alam sekitar yang mampan dan membantu mengukuhkan sistem rawatan olahan kilang sawit sedia ada supaya tidak mencemarkan alam sekitar,” ujarnya.

Tengku Farok Hussin berkata, loji jana kuasa biogas tersebut turut menerima pengiktirafan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment