Translate

Wednesday, February 15, 2023

Pemuda berhenti kerja jaga ibu sakit kanser

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pemuda mengambil tanggungjawab menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat kanser ­payudara tahap empat sejak empat bulan lalu.

Muhammad Zuhaili Rejab Rasli, 22, berkata, dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan demi kebajikan ibunya, Zuraida Ibrahim, 50.

Menurutnya, benjolan pada payudara kanan ibunya disahkan kanser tahap empat oleh pengawai perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Oktober tahun lalu.

“Sebagai anak sulung, menjadi tonggak keluarga setelah arwah bapa, Rasli Abdullah meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2017.

“Ibu kini sudah tidak mampu menguruskan diri. Saya perlu membantunya membersihkan diri, menjaga makan dan mi­num serta memberikannya ubat,” katanya di Kampung Bukit Kubang Jambu di sini baru-baru ini.

Katanya, selain ibunya, dia juga perlu menguruskan persekolahan adik bongsunya, Nur Aina Amni, 12.

Buat masa ini, mereka bergantung kepada adik kedua, Muhammad Aslam Syakirin, 20, yang bekerja sebagai pembantu kantin sekolah dengan pendapatan RM1,200 sebulan.

“Selain itu, kami juga mene­rima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM450.

“Begitupun, saya akui kami masih berdepan dengan keka­ngan kewangan kerana kos perubatan, lampin pakai buang dan susu khas ibu mencecah hampir RM1,500 sebulan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional Zuraida, 1110029001074532  atau menghubungi Muhammad Zuhaili Rejab di talian 011-12984319.

No comments:

Post a Comment