KUALA TERENGGANU – Ekoran sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak membuat tuntutan palsu, bantuan banjir berjumlah RM1,000 kepada setiap keluarga terjejas di Terengganu masih tidak dapat diagihkan.
Dianggarkan daripada 29,000
permohonan oleh mangsa terjejas banjir yang diterima, hampir
3,000 meragukan dan perlu disemak kesahihannya.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk menangguhkan sementara pengagihan bantuan tersebut yang sepatutnya dilunaskan awal bulan ini.
Katanya, ia bagi membolehkan proses pemutihan dilakukan Jabatan Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) demi menjamin ketelusan.
“Masalah timbul kerana sikap masyarakat kita juga dengan membuat tuntutan bertindih.
“Suami dan isteri buat tuntutan berasingan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) berlainan,” katanya di sini semalam.
Ahmad Samsuri berkata, tambah mengecewakan, segelintir pihak cuba mengambil kesempatan membuat tuntutan walaupun kediaman mereka langsung tidak terjejas banjir.
Ujar beliau, proses pemutihan permohonan tuntutan sedang dilakukan dan ia dijangka selesai dalam masa terdekat.
“Buat masa ini, hanya dua daerah masih belum menghantar senarai (penerima) yang masih tidak diputihkan.
“Saya telah mengarahkan ia diselesaikan segera. InsyaAllah, agihan bantuan banjir akan dilakukan pada Mac ini,” katanya.
Terdahulu, sesetengah mangsa banjir di Terengganu merungut kerana masih belum menerima bantuan banjir berjumlah RM1,000 yang dijanjikan kerajaan negeri sebelum ini.
Setiap ketua isi rumah yang terjejas turut menerima bantuan banjir dengan amaun sama daripada Kerajaan Persekutuan.
No comments:
Post a Comment