Translate

Monday, February 20, 2023

Kahwin separuh jalan di Siam

 Oleh NORLIDA AKMAR IDROS dan MOHD. AZLI ADLAN

ALOR SETAR – Ramai pasangan bernikah di Thailand menjadi mangsa penipuan sindiket apabila perkahwinan yang dianggap selesai sebenarnya hanya dilakukan separuh jalan hingga mendatangkan masalah sekiranya hendak membuat pendaftaran di Malaysia.

Sindiket nikah Siam yang menerima bayaran antara RM3,000 hingga RM6,000 itu memerangkap pasangan pengantin dengan cara tidak membawa mereka ke pejabat Konsulat Malaysia untuk proses seterusnya sebaik ijab kabul dijalankan. 

Natijahnya, pasangan terpaksa pergi semula ke Thailand untuk mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk mendaftarkan pernikahan di Malaysia dan perlu membayar kos tambahan. 

Terdapat enam dokumen yang diperlukan untuk mendaftarkan perkahwinan termasuk surat nikah, pengesahan dan resit bayaran dari Konsulat Malaysia, tauliah jurunikah serta gambar bersama tok kadi dan saksi. 

Peguam syarie, Farah Diyana Azhar mendedahkan, bertambah malang apabila ada pasangan dinikahkan di satu lokasi dalam negara dekat sempadan Malaysia-Thailand menggunakan jurunikah Siam.

 Katanya, pernikahan itu dikhuatiri tidak sah kerana menggunakan khidmat jurunikah tidak bertauliah selain lokasi pernikahan tidak diiktiraf dan dokumennya diragui.

“Jika didapati pernikahan tak sah, perkahwinan itu perlu dibubarkan seperti diperintahkan oleh Mahkamah Syariah dan bernikah semula. 

 “Kebanyakan sindiket mengiklankan khidmat mereka di media sosial dan mudah mempengaruhi pasangan cinta terlarang yang kebanyakkannya terdedah kepada risiko ditipu,” katanya kepada Kosmo!. 

Menurut Farah Diyana, antara modus operandi sindiket ialah mengambil bayaran penuh tetapi hanya bawa bernikah di Majlis Agama Islam Songkhla tetapi tidak pergi ke pejabat Konsulat Malaysia untuk urusan seterusnya. 

Tambahnya, ada juga pasangan yang bernikah dengan warga asing dibawa ke Thailand menggunakan lorong tikus dan ia menyukarkan proses dokumentasi dengan imigresen. 

“Ada pasangan terdesak hanya dinikahkan oleh jurunikah Siam berdekatan sempadan dengan diberikan surat nikah palsu dan ia banyak melibatkan mereka yang berkahwin ketika Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya. 

 Ujar Farah Diyana, pernikahan banyak dilakukan di dalam rumah dan ia berlaku di Kelantan dan segelintir kes terjadi di Kedah serta Perlis,” katanya. 

“Jika tidak keluar Malaysia, dikhuatiri jarak tidak lebih dua marhalah dan tidak boleh menggunakan wali hakim. Kebanyakan pasangan ditipu kerana tidak ada ilmu mengenai syarat dan peraturan jika bernikah di Thailand dan percaya bulat-bulat kepada ejen,” katanya. 

Menurut Farah Diyana, perkahwinan yang tidak didaftarkan bakal berdepan masalah dan kesukaran seperti dokumentasi anak, faraid, nafkah dan wali pernikahan zuriat kelak.

"Ada kes isteri ditindas apabila dia sahaja yang daftar, manakala suami enggan kononnya untuk mengelakkan isteri pertama tahu dan tidak mahu terikat dengan tanggungjawab,” katanya.   

Ujar Farah Diyana, ada juga kes isteri memohon mendaftarkan pernikahan selepas suami meninggal dunia dan anak sudah berusia 24 tahun. 

“Pernikahan tidak diiktiraf akan menyebabkan anak tidak dapat dinasabkan kepada bapa kandung, manakala proses faraid gagal dilakukan. 

Ia juga menyukarkan proses permohonan cerai,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pasangan agar berkahwin dalam negara dengan mengikut saluran dan undang-undang yang betul bagi mengelak masalah di kemudian hari.

No comments:

Post a Comment