Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Penglibatan 14 anggota dan pegawai polis di negeri ini dalam pertubuhan kongsi gelap dikenali sebagai Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) sejak 2021 terbongkar apabila kesemuanya diberkas dalam operasi khas dilakukan Bukit Aman Jumaat lalu.
Selain polis, operasi itu turut menahan tujuh orang awam termasuk pemimpin AHK dikenali sebagai Ayahanda Husin Kumbang dan anak lelakinya selain empat orang kuat kongsi gelap tersebut digelar Ayah Mie Black, Ayah Am Boya, Ayah Che Mat dan Ayah Mie Castello.
Sumber berkata, kesemua suspek termasuk ketua kongsi gelap itu yang berusia 39 tahun ditahan dalam Op Selendang yang dilancarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Bukit Aman di sebuah rumah di Dungun pada pukul 6.40 pagi.
Katanya, tangkapan itu melibatkan 12 anggota berpangkat rendah dan dua inspektor.
“Kesemua mereka bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, IPD Kuala Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.
“Siasatan awal mendapati AHK aktif di sekitar Dungun dan anggota dan pegawai polis tersebut dipercayai mula menyertai dalam pertubuhan haram tersebut pada tahun 2021,” katanya ketika dihubungi.
Menurut sumber, operasi itu turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk ritual mengangkat sumpah kesetiaan iaitu enam bilah pedang, ekor ikan pari, sebilah badik dan dua naskah al-Quran.
Tambahnya, selain itu, turut dirampas ialah rehal, sembilan helai sejadah, songkok berlilit kain berwarna, sehelai kain sarung, topi, 10 baju T berlogo dan sehelai kain kapan.
“Lapan kereta, 28 telefon bimbit, nombor pendaftaran kereta berlogo, 30 pelekat AHK, lapan borang keahlian, kain pemidang selendang merah, dua sijil penghargaan dan satu buku akad sumpah turut disita,” katanya.
Ujar sumber, ketua AHK berusia 39 tahun yang dilahirkan di Kedah dan menetap di Dungun meletakkan syarat kepada setiap ahli baharu yang mahu menyertai AHK supaya mengangkat sumpah kesetiaan atau berbaiah.
“Ahli baharu yang ingin menyertai kumpulan tersebut akan menjalani upacara angkat sumpah menggunakan peralatan seperti ekor ikan pari, badik dan pedang.
“Mereka perlu bersumpah taat setia dan kerahsiaan kumpulan disaksikan al-Quran,” katanya di sini semalam.
Katanya, pengenalan anggota AHK boleh dikenal pasti menerusi penggunaan pelekat dan pemakaian baju T berlogo pertubuhan haram terbabit.
“Ketika serbuan, kita percaya mereka sedang melakukan ritual angkat sumpah melibatkan lapan anggota baharu berdasarkan lapan borang keahlian AHK yang telah dijumpai semasa serbuan dilaksanakan,” katanya.
Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.
Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa yang dihubungi mengesahkan penangkapan terbabit.
Beliau berkata, Bukit Aman akan memberi butiran lanjut berhubungan penangkapan tersebut pada masa terdekat.
No comments:
Post a Comment