Translate

Tuesday, February 21, 2023

Guru bersyukur terima manfaat banjir daripada YGMB

KUALA NERUS – Seramai 50 guru di Terengganu yang terjejas dengan banjir besar pada akhir tahun lalu bersyukur menerima manfaat daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB). 

Setiap mereka menerima wang tunai RM500 yang merupakan sebahagian daripada manfaat bencana di bawah Skim Keahlian YGMB dengan yuran bulanan semurah RM10.

 Seorang penerima, Wan Manzura Wan Kamal, 59, berkata, rumahnya di Kampung Losong Haji Long, Kuala Terengganu dilanda banjir sebanyak tiga kali sewaktu gelombang banjir pertama dan kedua tersebut. 

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Bukit Besar, Kuala Terengganu itu memberitahu, banyak perabot dan peralatan elektrik rumahnya rosak akibat ditenggelami air. 

“Alhamdulillah, pemberian manfaat ini sedikit sebanyak boleh digunakan untuk membeli semula sebahagian barangan elektrik yang telah rosak. 

“Saya telah menyertai Skim Keahlian YGMB sejak 20 tahun lalu dan banyak manfaat telah diperoleh daripadanya,” katanya selepas menerima manfaat tersebut daripada Pengerusi YGMB, Aminuddin Adam. 

Skim Keahlian YGMB menawarkan 25 manfaat disertai lebih 130,000 warga pendidik di seluruh negara. 

Seorang lagi penerima, Ismarul Wardi Abdullah, 48, yang merupakan guru SK Felda Tenang, Besut pula berkata, ini kali kedua dia menerima manfaat daripada Skim Keahlian YGMB sejak menyertainya pada tahun 2018.

No comments:

Post a Comment