Translate

Tuesday, February 28, 2023

Tiada kad UNHCR punca Rohingya nikah koboi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lambakan kes warga Rohingya memilih untuk berkahwin secara nikah koboi atau lebih dikenali sebagai nikah ekspres di negara ini berpunca daripada masalah kewarganegaraan.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan Bahagian Undang-Undang Keluarga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Moktar Salleh berkata, situasi itu berlaku apabila pasangan tersebut bukan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Malah, nikah koboi itu di­pilih apabila warga Rohingya mahu berkahwin dengan orang tempatan atau warga Indonesia kerana lebih mudah berbanding cara sah yang rumit dan memakan masa yang lama.

Katanya, ketiadaan status kewarganegaraan yang sah menyukarkan pihak berkuasa agama negeri untuk mengeluarkan sijil nikah rasmi terhadap pasangan Rohingya berkenaan.

Beliau berkata, risiko masalah tersebut lebih tinggi sekiranya melibatkan perkahwinan campur antara lelaki Rohingya de­ngan wanita tempatan mahupun warga negara lain.

“Ketiadaan sijil pernikahan rasmi memberi impak besar ­kerana perkahwinan mereka tidak didaftarkan.

“Tanpa bukti tersebut, mereka berisiko untuk ditangkap atas kesalahan syariah jika didapati berdua-duaan oleh pegawai penguat kuasa,” katanya.

Jelasnya, ketiadaan surat nikah rasmi menyebabkan anak-anak yang dilahirkan sukar disahtarafkan sehingga terpaksa dinasabkan dengan bin atau binti Abdullah atau mana-mana nama Asmaul Husna.

Tambahnya, sekiranya berlaku penceraian, bekas isteri turut hilang hak menuntut nafkah kerana perkahwinan tersebut tidak didaftarkan dengan undang-undang syariah negara ini.

“Warga Rohingya bertaraf pelarian diberi perlindu­ngan sementara di negara ini.

“Sekiranya ditempatkan di mana-mana negara ketiga suatu hari nanti, seluruh keluarganya wajib berpindah termasuk isteri walaupun warga tempatan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment