Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Harga sayur-sayuran di Terengganu yang melonjak sehingga 100 peratus pada masa ini dijangka stabil semula menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Nukman Hashim berkata, peningkatan harga itu akan diimbangkan dengan pengeluaran daripada pekebun tempatan yang dijangka akan dapat mula dituai pada akhir bulan hadapan.
“Kenaikan (harga sayur) ini senario lazim di negeri-negeri Pantai Timur termasuk Terengganu setiap kali musim tengkujuh kerana kebanyakan kebun sayur dinaiki air banjir.
“Begitupun, pekebun tempatan kini sudah mula melakukan penanaman semula sejak banjir besar reda pada awal bulan lalu,” katanya pada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Masjid Al-Ikhwan di Kampung Gelong Bilal di sini semalam.
Nukman berkata, berdasarkan maklum balas pekebun tempatan, hasil pertanian mereka dijangka akan mula dapat dituai menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba pada akhir bulan depan.
Tambah beliau, buat masa ini, FAMA Terengganu mengambil pendekatan untuk memastikan bekalan sayur untuk kegunaan pengguna negeri ini.
“Sebanyak 10 tan sayur-sayuran dari Cameron Highlands, Pahang akan dibawa masuk ke pasaran negeri ini pada masa terdekat.
“Kita akui harga sayur agak tinggi pada masa ini, namun bagi jangka pendek ini, biarlah keberadaannya di pasaran negeri ini terjamin,” katanya.
Nukman berkata, kenaikan sayuran pada masa ini disebabkan situasi banjir di beberapa negeri pembekal dan ketiadaan bekalan daripada pekebun tempatan.
No comments:
Post a Comment