Oleh MOHD AZLI ADLAN, KAMALIZA KAMARUDDIN dan NUR HUDA MUSA
KUALA TERENGGANU – Lambakan inap desa terutamanya yang beroperasi secara haram di seluruh negara bagaikan ‘membunuh’ industri perhotelan dan resort apabila pelancong kini lebih suka menetap di homestay sewaktu percutian mereka.
Realitinya sejak kebelakangan ini, kebanyakan bilik hotel dan resort hanya menjadi pilihan terakhir pelancong sekiranya rumah dan apartmen yang dijadikan inap desa di sesuatu lokasi pelancongan habis ditempah.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, Suaibah Harun berkata, pemain industri hotel dan resort sememangnya tidak mampu bersaing dengan pengusaha a inap desa khususnya dari segi caj penginapan.
Menurutnya, kadar yang ditawarkan kebanyakan pengusaha homestay adalah jauh lebih rendah berbanding caj yang dikenakan pihak hotel atau resort.
“Tidak seperti pengusaha inap desa terutama yang tidak berdaftar, kami perlu membayar pelbagai cukai kepada kerajaan seperti lesen Persembahan Awam Malaysia (PPM).
“Kami umpama bersaing di ‘padang yang tidak sama rata’ dan dikhuatiri lambat-laun akan memberi kesan negatif kepada industri pelancongan domestik sekiranya tidak ditangani segera,” katanya kepada Kosmo!.
Suaibah menegaskan, pihaknya tidak menyalahkan pengusaha inap desa kerana percaya mereka juga penting dalam menyuburkan industri pelancongan tempatan.
Begitupun, beliau yang juga Pengurus Besar Hotel Primula mengharapkan kerajaan dapat menyediakan mekanisme bagi mengawal selia inap desa dan juga beberapa aplikasi lain yang turut menawarkan perkhidmatan sama pada harga rendah.
“Kita perlu ambil pengajaran daripada konflik yang pernah berlaku antara pemandu teksi dan e-hailing suatu masa dahulu.
“Langkah awal dan proaktif perlu diambil bagi mengharmonikan industri pelancongan negara sebelum keadaan bertambah buruk,” ujarnya.
Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman pula mahu kerajaan menyediakan mekanisme yang memberi situasi menang-menang kepada semua pemain industri itu.
Beliau berkata, kerajaan perlu mewujudkan pangkalan data bagi memastikan inap desa beroperasi secara sistematik, berdaftar dan tersusun seperti industri perhotelan serta resort.
“Sudah tiba masanya kerajaan menetapkan kadar lingkungan harga munasabah dengan kemudahan yang disediakan pengusaha inap desa,” katanya.
Noralizan berkata, kawal selia kerajaan itu juga bagi memastikan semua pengusaha inap desa mematuhi aspek keselamatan, kebersihan dan tatacara pengurusan untuk mengelak sebarang unsur penipuan kepada pelancong.
Jelas beliau, banyak inap desa kini dipercayai tidak pernah berdaftar dengan kerajaan dan ia sangat berisiko kepada penginap jika berlaku penipuan.
Sementara itu, Presiden Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia, Dr. Sri Ganesh Michael berkata , lambakan homestay ‘haram’ menyebabkan pengusaha hotel terpaksa menanggung kerugian sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.
Katanya, isu itu sudah dibangkitkan sejak sekian lama, tetapi sehingga kini belum menemui jalan penyelesaian.
Pengusaha-pengusaha hotel berdepan kesukaran apabila penginapan kediaman jangka masa pendek ini semakin berleluasa.
“Ia tidak adil buat pengusaha hotel kerana perniagaan itu bukan sahaja tidak mempunyai lesen, malah tidak perlu membayar cukai dan tiada peraturan yang perlu mereka patuhi, sedangkan hotel-hotel berdaftar perlu akur semua peraturan,” ujarnya.
K e t u a P e g a w a i E k s e k u t i f P e r s a t u a n Hotel Malaysia, Isaac Raj pula berkata, masalah yang dicetuskan oleh pengendali penginapan menerusi platform dalam talian juga perlu diberi perhatian.
Menurutnya, tawaran harga lebih murah serta pelbagai jenis promosi, menyukarkan pihak pengurusan hotel untuk memperoleh keuntungan.
“Harga rumah atau bilik penginapan tidak berdaftar ditawarkan kadangkala lebih rendah berbanding hotel berdaftar walaupun kemudahan ditawarkan hampir sama.
“Bagaimanapun, mereka tidak terbeban dengan pelbagai kos operasi seperti membayar gaji kakitangan, cukai pelancongan serta bermacam jenis lesen,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment