Translate

Monday, February 27, 2023

Pesta seludup ‘barang’ ketika musim tengkujuh

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Terdapat sindiket dikesan mengambil kesempatan menjadikan musim tengkujuh untuk menggiatkan aktiviti penyeludupan menggunakan jalan laut kerana mengandaikan pihak berkuasa sedang sibuk membantu mangsa bencana.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohamad berkata, berdasarkan rekod, pasti ada kes cubaan penyeludupan di perairan daerah ini pada setiap musim tengkujuh.

Katanya, pihak polis berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok menerusi jalan laut pada musim tengkujuh dua tahun berturut-turut.

“Tahun lalu, cubaan untuk membawa masuk rokok seludup menerusi bot berjaya dipatahkan di perairan Besut.

“Tahun ini pula, kita berjaya merampas 9,900 karton rokok disyaki seludup dianggarkan bernilai keseluruhan RM1.69 juta di pesisir Pantai Air Tawar di sini pada 8 November lalu,” katanya.

Abdul Rozak berkata, sewaktu serbuan dilakukan, bekalan rokok disyaki seludup berkenaan sedang dipunggah masuk ke dalam sebuah lori.

Begitupun, jelas beliau, beberapa lelaki yang disyaki anggota sindiket sempat melarikan diri apabila lokasi kejadian diser­bu anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM).

“Mungkin mereka merasakan pemantauan pihak berkuasa akan berkurangan pada musim tengkujuh.

“Ini kerana, mereka mengandaikan pihak berkuasa negara ini memberi fokus membantu mangsa banjir selain masalah logistik akibat laut bergelora pada Monsun Timur Laut,” ujarnya.

Abdul Rozak menegaskan, andaian sindiket tersebut silap ke­ra­na pihak berkuasa tidak pernah leka kerana pemantauan bagi membanteras jenayah di perairan negara tetap dilakukan walaupun pada musim tengkujuh.


No comments:

Post a Comment