Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Selain Siam, sindiket nikah palsu yang menipu pasangan kemaruk hendak bernikah turut bergiat di Setiu dan Pasir Puteh, Kelantan.
Ketua Pendakwa Syarie Terengganu, Wan Abd. Malik Wan Sidek berkata, maklumat diperoleh selepas pihaknya melakukan risikan mengenainya.
“Kita pernah menyerbu dan menahan anggota sindiket terbabit yang turut didalangi orang tempatan di Kampung Air Sejuk, Setiu beberapa tahun lalu tetapi mereka masih tidak serik.
“Selain kampung itu, ada sindiket yang membuat kerja serupa di Pasir Puteh, Kelantan,” katanya.
Menurut Wan Abd. Malik, risikan mendapati, kawasan Sungai Padi di Narathiwat, Thailand merupakan lubuk ulat sindiket yang menawarkan pernikahan mudah tanpa perlu menyelidiki keperluan nikah termasuk status wali.“Kebanyakan kes tipu berlaku apabila si wanita mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh si lelaki tanpa ditemani wali dan tiada ilmu berkaitan perkahwinan menggunakan sindiket.
Pernikahan juga tidak mengikut rukun yang ditetapkan dalam Islam,” katanya.
Menurut Wan Abd. Malik, sindiket mengenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM10,000 bagi setiap pasangan.
“Ada sindiket semakin rakus dengan menghantar kadi Siam tidak bertauliah untuk bernikah berdekatan sempadan dan ada yang tidak diberikan sijil nikah. Jika diberi pun ia palsu,” katanya.
No comments:
Post a Comment