Translate

Friday, February 3, 2023

Mangsa kemalangan dalam perjalanan jalani pemeriksaan jantung di Kuantan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh binaan dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang bagi menjalani pemeriksaan jantung maut apabila kenderaan dinaikinya dirempuh sebuah kenderaan lain di Kilometer 41.5, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan berhampiran Kampung Selawa, Merchang di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 8.30 pagi tadi, mangsa, Ahmad Arshad Mamat, 51, meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Klinik Kesihatan Merchang di sini.

Isterinya, Rozita Mamat, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tiga anak mereka, Muhammad Adzli Abid Muayyad, 7; Muhammad Adami Najmudden, 13, dan Nur Ain Fitriyah,17, cedera parah.

Anak saudara mangsa, Mohd. Syukri Musa, 36, berkata, bapa saudaranya mempunyai temujanji berkaitan rawatan jantung di HTAA pada hari ini.

“Kebetulan hari ini cuti Tahun Baharu Cina bermula, bapa saudara saya (Ahmad Arshad) pergi bersama isteri (Rozita) dan ketiga-tiga anak mereka.

“Saya difahamkan mereka bergerak sesudah solat Subuh pagi tadi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Mohd. Syukri berkata, bapa saudara, Ahmad Arshad menjalani pembedahan pintasan jantung di HTAA kira-kira setahun lalu.

Beliau berkata, anak kedua arwah, Muhammad Adami Najmudden sedang dirawat di unit rawatan rapi HSNZ manakala Nur Ain Fitriyah patah kedua-dua kaki dan Muhammad Adzli Abid Muayyad pula cedera pada bahagian leher.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Md. Dris berkata, kemalangan disebabkan sebuah kereta Proton Satria Neo dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun hilang kawalan dipercayai akibat terlanggar lopak air.

Kenderaan dari arah Dungun itu kemudiannya terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta Perodua Axia dinaiki Ahmad Arshad sekeluarga dan dua kenderaan lain iaitu Perodua Myvi dan Proton Wira.

Kemalangan itu turut menyebabkan empat lagi mangsa cedera dan mereka telah dikejarkan ke unit kecemasan HSNZ untuk menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment