Translate

Tuesday, February 21, 2023

Pelajar UMT kutip 600kg sampah pantai

KUALA TERENGGANU – Seramai 20 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bergotong-royong membersihkan kawasan pengkalan nelayan di Chendering di sini, baru-baru ini. 

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin UMT, Dr. Chuah Lai Fatt berkata, program itu bertujuan mengindahkan kawasan pengkalan nelayan dan pesisir pantai sekitarnya daripada sampah.

 “Sebanyak 600 kilogram sampah berjaya dikutip oleh pelajar-pelajar terbabit sepanjang program gotong-royong berkenaan. 

“Kebanyakan sampah yang dikutip merupakan produk diperbuat daripada plastik seperti beg, botol dan bekas makanan plastik, lampin pakai buang dan pemetik api,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Lai Fatt berkata, selain itu, sampah berupa baju, tin makanan, span sofa, serpihan kaca dan puntung rokok juga banyak ditemui di pesisir pantai berkenaan. 

Tambah beliau, pihaknya percaya sebahagian besar sampah-sarap berkenaan memasuki laut setelah dibuang di sistem saliran sebelum terdampar semula ke pantai. 

“Lambakan sampah termasuk plastik ini bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah memberi ancaman kepada nyawa hidupan laut dan kesihatan manusia. 

“Selain mengutip sampah, pelajar tahun satu dan dua terbabit turut diberi peranan untuk memberi kesedaran tentang keburukan membuang sampah ke laut kepada golongan nelayan dan masyarakat setempat,” kata nya. 

Lai Fatt menambah, program itu juga memberi pendedahan kepada pelajarnya tentang situasi maritim semasa dengan pendekatan turun padang. 

Beliau berkata, besar harapannya, pelajar program maritim UMT akan terus memainkan peranan memberi kesedaran kepada masyarakat.

No comments:

Post a Comment