Translate

Thursday, February 16, 2023

Mati lemas ketika mandi waktu senja

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA NERUS – Keseronokan seorang lelaki mandi-manda ketika waktu senja bertukar tragedi apabila mangsa mati lemas di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Bukit Tumbuh di sini kelmarin. 

Kejadian pada pukul 7.40 malam itu itu berlaku apabila mangsa berusia dalam lingkungan 40-an turun ke sungai berkenaan untuk mandi seorang diri. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, ketika mandi-manda, tangan mangsa tiba-tiba tergapai-gapai meminta pertolongan tidak lama kemudian. 

“Seorang remaja lelaki yang juga penduduk setempat yang menyedari kejadian itu segera terjun ke dalam sungai tersebut untuk menyelamatkan mangsa. 

“Bagaimanapun, remaja berkenaan terpaksa melepaskan tangan mangsa kerana dia turut hampir lemas disebabkan air sungai yang terlalu dalam dan sejuk,” katanya ketika di lokasi kejadian di sini kelmarin.

 Azmi memberitahu, penduduk telah menghubungi pihak polis yang kemudian tiba di lokasi kejadian pada pukul 7.50 malam. 

Katanya, anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) telah melakukan selaman pada pukul 9 malam sebelum menemui mayat mangsa kira-kira 10 minit kemudian. 

“Mayat mangsa ditemui pada kedalaman tiga meter dengan jarak hampir 50 meter dari lokasi lelaki itu dilaporkan tenggelam. 

“Setakat ini, identiti mangsa yang dipercayai bukan penduduk Kampung Bukit Tumbuh masih belum dikenal pasti,” ujarnya. Mayat lelaki itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,

No comments:

Post a Comment