Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang pekerja sebuah premis menjual tayar kenderaan terkejut menemui seorang bayi lelaki yang dibuang di hadapan rumahnya di Kondo Rakyat Kuala Ibai di sini semalam.
Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, bertemu dengan bayi yang dianggarkan berusia kira-kira seminggu berkenaan sewaktu pulang dari tempat kerjanya pada pukul 6.05 petang.
“Pada mulanya tidak perasan kerana bayi dibungkus dengan kain batik berwarna merah tersebut diletakkan di bawah bangku di hadapan rumah saya yang terletak di tingkat bawah pangsapuri.
“Begitupun, kira-kira lima minit selepas memasuki rumah, saya terdengar bunyi tangisan bayi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kondo Rakyat Kuala Ibai di sini hari ini.
Ahmad Fauzi berkata, dia kemudiannya terjumpa bungkusan kain batik merah berkenaan yang mengandungi seorang bayi lelaki hanya memakai lampin pakai buang.
“Saya kemudiannya memaklumkan penemuan bayi yang masih bertali pusat berkenaan kepada pihak polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din yang dihubungi mengesahkan penemuan bayi tersebut.
“Orang yang mempunyai maklumat tentang penemuan bayi itu diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment