Translate

Wednesday, February 22, 2023

1.6 tan sampah dikutip di Pantai Pandak

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 1.6 tan sampah dikutip dalam tempoh tiga jam sahaja dalam program gotong-royong membersihkan Pantai Pandak di Kuala Ibai di sini semalam. 

Ia melibatkan seramai 140 sukarelawan terdiri daripada kakitangan syarikat kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Geng Plastik Ija (GPI), pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). 

Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Keselamatan EPIC, Rusdi Ngah berkata, program gotong-royong berkenaan dilakukan di sepanjang kira-kira 200 meter pesisir pantai berkenaan. 

“Sepanjang tempoh itu, kami berjaya mengutip kira-kira 1.6 tan sampah,” katanya semalam.

 Rusdi berkata, kebanyakan sampah dikutip adalah botol minuman, pembungkus plastik makanan, pukat nelayan, tali dan cebisan gabus. 

Tambahnya, sampah sarap yang dikutip akan dilupuskan, manakala botol plastik dikitar semula. 

“Bagi menghargai sumbangan inisiatif diambil GPI, EPIC memberi sumbangan RM4,000 kepada kumpulan sukarelawan berkenaan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment