Translate

Friday, February 17, 2023

Bekas imam maut kemalangan lepas solat Jumaat

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Seorang pesara yang dalam perjalanan pulang dari solat Jumaat hari ini maut setelah motosikal dinaikinya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 21, Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang berhampiran Masjid Durian Guling di sini.

Dalam kejadian pada pukul 3.10 petang itu, mangsa, Nordin @ Wan Ghazali Wan Ismail, 78, yang juga bekas imam masjid berkenaan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 13, Durian Guling di sini.

Beliau berkata, pada masa sama, seorang jurujual wanita berusia 26 tahun pula menaiki kereta Perodua Myvi dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

“Kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Modenas Kriss dinaiki lelaki warga emas itu yang berada di laluan kiri arah Kuala Berang dikatakan tiba-tiba memasuki laluan kanan.

“Kereta Perodua Myvi yang dipandu wanita terbabit gagal mengelak lalu merempuh motosikal mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, impak rempuhan tersebut menyebabkan Nordin @ Wan Ghazali tercampak ke jalan raya.

Tambah beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment