KUALA NERUS – Seorang pengusaha chalet kerugian lebih RM150,000 setelah sebahagian kawasan Chalet Bira Pantai di Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini, musnah akibat hakisan sejak minggu lalu.
Abdul Wahab Othman, 63, berkata, struktur tangki air dan benteng pemecah ombak chalet diusahakannya rosak teruk akibat dipukul ombak Isnin lalu.
“Fenomena air pasang besar bermula sejak 26 Januari lalu itu juga telah menyebabkan sebahagian tebing struktur chalet saya rebak akibat hakisan.
“Kejadian hakisan pantai tersebut kedua terburuk sejak chalet ini mula beroperasi pada 2004,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ujarnya, sebelum ini, struktur pagar dan sebuah bilik chalet miliknya juga telah musnah akibat fenomena air pasang besar pada Februari tahun lalu.
Jelasnya, sejak setahun lalu, hampir 9.3 meter persegi kawasan chalet itu telah hilang menjadi sebahagian daripada laut.
“Masalah hakisan itu juga telah menjejaskan perniagaan dengan kesemua tempahan yang diterima dibatalkan pelanggan sejak 25 Januari lalu.
“Saya faham kebimbangan pelanggan dan cuma mampu berdoa agar kerosakan mampu diminimumkan sepanjang tempoh fenomena air pasang besar ini yang dijangka akan ber akhir Ahad ini,” katanya.
Abdul Wahab berkata, bagi penyelesaian jangka pendek, beliau telah mengambil inisiatif membina penahan ombak diperbuat daripada batu dengan kos sendiri dianggarkan lebih RM10,000.
Beliau juga merancang untuk menambak kawasan chalet agar lebih tinggi setelah musim tengkujuh berakhir pada bulan depan.
No comments:
Post a Comment