Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KEMAMAN – Projek pembinaan landasan sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Pelabuhan Kemaman dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun depan.
Ketua Pegawai Operasi Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Muhtar Suhaili berkata, ini merupakan sebahagian daripada fasa pertama pengembangan Pelabuhan Kemaman dengan pembinaan jajaran ECRL dijangka melibatkan pelaburan sehingga RM20 juta.
Beliau berkata, buat masa ini, perundingan sedang dilakukan bagi melantik konsultan dan pasukan pengurusan projek yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Kewujudan landasan sambungan ECRL amat penting bagi pelan pengembangan Pelabuhan Kemaman yang menyasarkan pengendalian 33 juta tan kargo menjelang tahun 2030.
“Ia akan menjadi faktor utama untuk menarik lebih banyak pelabur memasuki pelabuhan ini seiring dengan projek ECRL yang akan beroperasi pada tahun 2027,” katanya pada lawatan media di Pelabuhan Kemaman di sini semalam.
Muhtar menjelaskan, kerja pembinaan landasan sambungan itu bakal melibatkan masa kira-kira 13 bulan dan bermula pada suku ketiga tahun ini.
Tambah beliau, selain landasan sambungan ECRL, fasa pertama pelan pengembangan terbabit akan turut melibatkan pembesaran Dermaga Timur sepanjang 650 meter.
“Kita juga merancang untuk membesarkan juga Dermaga Barat dan membina benteng pemecah ombak baharu di kawasan pelabuhan ini pada fasa seterusnya pada tahun 2030.
“Pelan pengembangan Pelabuhan Kemaman ini diunjur menelan belanja kira-kira RM3 bilion,” katanya.
Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn. Bhd. dan Sukma Samudra Sdn. Bhd.adalah anak syarikat EPIC yang juga pengendali pelabuhan utama di Terengganu.
Pelabuhan Kemaman adalah antara pelabuhan ter dalam secara semulajadi di negara ini dengan boleh dimasuki kapal kargo seberat 150,000 tan.
Ia menjadi tumpuan kapal kargo membawa muatan minyak mentah, besi keluli dan sumber mineral.
No comments:
Post a Comment