Translate

Tuesday, February 7, 2023

Mati lemas ketika mandi di Sungai Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang lelaki maut akibat lemas di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Bukit Tumbuh di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 7.40 malam itu, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an tersebut dikatakan turun ke sungai berkenaan untuk mandi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, tangan mangsa dikatakan tergapai-gapai meminta pertolongan tidak lama kemudian.

“Salah seorang remaja lelaki yang juga penduduk setempat yang menyedari kejadian itu segera terjun ke dalam sungai tersebut untuk menyelamatkan mangsa.

“Begitupun, dia terpaksa melepaskan tangan mangsa kerana turut hampir lemas disebabkan air sungai terlalu dalam dan sejuk,” katanya ketika di lokasi kejadian di sini malam tadi.

Azmi berkata, anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) telah melakukan selaman pada pukul 9 malam sebelum menemui mayat mangsa kira-kira 10 minit kemudian.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui pada kedalaman tiga meter pada jarak hampir 50 meter dia dilaporkan tenggelam.

“Setakat ini, identiti mangsa yang dipercayai bukan penduduk Kampung Bukit Tumbuh masih belum dikenal pasti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment