Translate

Monday, February 20, 2023

Polis siasat perarakan bersenjata Pemuda Pas Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu bakal mengambil tindakan terhadap sekumpulan Pemuda Pas Terengganu yang melakukan perarakan membawa replika senjata tajam di sebuah resort di Setiu pada kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan itu dilakukan berikutan penyebaran gambar-gambar perarakan tersebut di media sosial pada hari ini.

“Hasil siasatan mendapati perarakan tersebut merupakan pertandingan mereka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam.

“Ia merupakan salah satu acara yang dianjurkan dalam program tersebut,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu perarakan sekumpulan Pemuda Pas negeri memakai pakaian beragam sambil memegang replika senjata seperti pedang dan tombak pada program Himpunan Pemuda Islam Terengganu yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tular di media sosial.

Ia menimbulkan kegusaran dan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat kerana perbuatan mempamerkan dan memiliki senjata walaupun palsu kepada khalayak merupakan kesalahan jenayah mengikut Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

Rohaimi memberitahu walaupun mengetahui penganjuran program oleh Pemuda Pas Terengganu itu, pihaknya tidak dimaklumkan tentang acara perarakan membawa senjata terbabit.

Sehubungan itu, beliau berkata, siasatan awal telah diambil bagi mengenalpasti kesalahan yang dilakukan sepanjang program berkenaan. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment