Translate

Thursday, July 11, 2024

Bas sekolah langgar permit bawa rombongan pengantin ditahan JPJ

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebuah bas sekolah yang membawa 40 orang yang merupakan rombongan pengantin ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di pusat bandar raya ini hari ini.

Bas sekolah menyalahguna permit dengan membawa rombongan pengantin itu merupakan salah satu daripada empat buah bas yang telah ditahan dalam operasi khas tersebut.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, pemeriksaan mendapati bas sekolah disewa untuk membawa rombongan pengantin terbabit dari Kedah ke bandar raya ini.

“Ia melanggar permit ditetapkan iaitu boleh beroperasi dalam lingkungan 30 kilometer serta penumpangnya melibatkan murid dan pelajar sekolah sahaja.

“Bas sekolah tersebut sangat berisiko membawa rombongan keluarga yang sangat besar lagipun dikhuatiri ia tidak berupaya beroperasi untuk perjalanan jauh,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengetuai operasi bersepadu memeriksa bas persoaran bersama Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Terengganu dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri.

Mohd. Zamri berkata, pengendali bas sekolah yang melakukan kesalahan tersebut akan dikenakan tindakan perundangan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992 yang dikuatkuasa Motac.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, operasi sama turut mengesan tiga lagi kesalahan dilakukan pengendali bas persiaran.

“Dua kesalahan melibatkan ketiadaan pemandu kedua manakala satu kes lagi pula berkaitan tiada pemandu pelancong.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut terhadap empat bas tersebut turut menemukan 12 kesalahan teknikal seperti menggunakan pemadam api luput tarikh, tidak menyediakan peti pertolongan cemas dan membawa aksesori merbahaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment