Translate

Thursday, July 25, 2024

Kata-kata terakhir arwah ibu azimat buat pelajar cemerlang STPM

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Kata-kata perangsang terakhir ibu sebelum meninggal dunia menjadi perangsang buat seorang calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0, hari ini.

Nur Ain Sofea Iqlima Mohd. Baharuddin, 20, lega dan bersyukur dapat menunaikan amanat arwah ibunya yang mahu dia cemerlang dalam peperiksaan STPM berkenaan.

Beliau yang mendapat 4A berkata, arwah ibu (Che Fauziah Che Awang, 50) meninggal dunia sewaktu menerima rawatan penyakit tiroid di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan pada 13 November tahun lalu.

“Waktu itu saya sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan Semester 3.

“Sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah ibu pesan supaya saya terus belajar bersungguh-sungguh dan jangan jadikan kehilangannya nanti sebagai alasan untuk terus ‘jatuh’,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, di sini hari ini.

Nur Ain Sofea Iqlima berkata, beliau menjaga ibunya sewaktu terlantar di HRPZ II selama hampir sebulan.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, beliau tetap ke sekolah setiap hari dengan berulang alik dari hospital ke SM Nasiruddin Shah sejauh kira-kira 126 kilometer.

“Pada ketika itu, saya membawa buku untuk mengulang kaji pelajaran sambil menjaga ibu di dalam wad. Oleh itu, kejayaan hari ini amat berharga buat saya apabila terkenangkan momen menyedihkan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment