Translate

Monday, March 6, 2023

Kerajaan lulus peruntukan RM192 juta pulih Pelabuhan LKIM Chendering

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM192 juta bagi menaik taraf Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, muara pelabuhan tersebut yang cetek akan didalamkan bagi merangsang kembali kemasukan bot nelayan laut dalam.

Beliau berkata, peruntukan tersebut juga merangkumi kerja-kerja membaiki kemudahan untuk menghidupkan semula Pelabuhan LKIM Chendering.

“Pelabuhan LKIM Chendering akan dikorek (pasir) dan dibalikkan peranannya seperti dahulu. Insya-Allah Pelabuhan LKIM akan kembali aktif dan menjadi pilihan pendaratan ikan oleh bot-bot lebih besar pada masa akan datang,” katanya di sini semalam.

Beliau ditemui pemberita ketika meninjau bot nelayan laut dalam pertama negara diperbuat daripada besi dibangunkan Amir Vision Sdn. Bhd.

Mohamad seterusnya berkata, dua benteng pemecah ombak yang terdapat di muara pelabuhan berkenaan juga akan dipanjangkan.

Tambah beliau, kerja-kerja awal menaik taraf Pelabuhan LKIM Chendering berkenaan bakal bermula pada bulan depan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

Kosmo! pada 8 Ogos 2020 melaporkan isu mendapan pasir antara punca utama kemerosotan Pelabuhan LKIM Chendering sehingga menjejaskan pendaratan ikan iaitu hanya 1,334.47 metrik tan setahun. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment