Translate

Saturday, March 31, 2018

Kosmo! menang tiga anugerah kewartawanan UniSZA

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU –Akhbar Kosmo! meraih tiga anugerah pada Malam Anugerah Kewartawanan Universiti Sultan Zai­nal Abidin (UniSZA) keempat malam kelmarin.

Lebih manis, dua daripada empat kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Penulisan Berita Terbaik (Bahasa Melayu) diungguli oleh Kosmo!.

Berita bertajuk Hasrat ubati penyakit bapa jadi perangsang penerima Anugerah Pelajaran Diraja UniSZA tulisan Penolong Ketua Biro Kosmo! Terengganu, Mohd. Azli Adlan dipilih sebagai pemenang Anugerah Penulisan Berita Terbaik (Bahasa Melayu) kategori Pendidikan.

Wartawan sambilan Kosmo!, Aimuni Tuan Lah pula dinobat sebagai pemenang anugerah sama bagi kategori Komuniti menerusi berita, UniSZA dam­pingi masyarakat Orang Asli negeri Pantai Timur.
Mohd. Azli dan Aimuni ma­sing-masing mene­rima hadiah wang tunai RM500.

Wartawan sambilan Kos­mo! Kamarudin Hamzah  menerima anu­gerah khas sebagai menghargai sumbangan beliau yang dedikasi membuat liputan program dan aktiviti UniSZA di kampus Tembila, Besut sekali gus meraih ha­diah wang tunai RM300.

Utusan Malaysia pula berjaya menggondol anugerah Penulisan Berita Terbaik (Bahasa Malaysia) bagi kategori Penyelidikan menerusi laporan Mesin Basuh Patuhi Syariah oleh Laupa Junus manakala jurugambar, Djohan Shahrin Shah Sabli memenangi anugerah Foto Berita Terbaik kategori Komuniti.

Hadiah disampaikan Ahli Lembaga Pengarah Universiti UniSZA, Datuk Ismail Wan Yusoh dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. R. Badlishah Ahmad.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UniSZA, Brig. Jeneral Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, UniSZA menyasar untuk muncul sebagai antara 100 institusi pengajian tinggi (IPT) terbaik Asia.

Pada masa ini, universiti tersebut berada dalam kelompok 300 IPT terbaik bagi rantau berkenaan.

No comments:

Post a Comment