Oleh MOHD. AZLI ADLAN
SELANGOR menamatkan kemarau kejuaraan sembilan tahun apabila menjulang Piala Presiden 2017 selepas menewaskan Terengganu dengan agregat 2-1 pada aksi final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.
Biarpun tewas 0-1 pada aksi tersebut, Selangor tetap gah menjulang Piala Presiden dengan agregat 2-1 menerusi bekalan dua gol dalam final pertama di Stadium Selayang pada 13 Oktober lalu.
Pengendali Selangor, Omar Ali berkata, beliau berasa puas dapat melunaskan impian yang dirancang sejak tahun 2015 untuk merangkul kejuaraan Piala Presiden pada edisi kali ini.
“Selangor mempunyai sistem pengurusan di peringkat akar umbi yang tersusun.
“Saya percaya kita mempunyai masa depan cerah memandangkan kesemua pemain Piala Presiden kali ini kecuali penjaga gol (Muhammad Haziq Ridwan) masih layak dari segi umur untuk beraksi pada kejohanan akan datang,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman menyampaikan hadiah wang tunai RM150,000, medal dan piala iringan kepada Selangor selaku juara.
Mengulas aksi final kedua, Omar berkata, beliau bangga dengan prestasi para pemain apabila dapat menyerap serangan bertali arus jentera serangan Terengganu sepanjang 90 minit perlawanan.
“Saya sudah jangka Terengganu akan mengasak habis-habisan di hadapan penyokong sendiri.
“Justeru saya telah mengarahkan para pemain bertahan dan melakukan serangan balas apabila berpeluang.
“Ternyata mereka sangat berdisiplin dan hanya melepaskan satu gol menerusi sepakan percuma,” katanya.
Gol tunggal perlawanan dihasilkan menerusi sepakan percuma Mohd. Haidhir Suhaini pada minit ke-24.
Sementara itu, pengendali Terengganu, Mustafa Kamal Abdul Wahab berkata, beliau tetap berpuas hati biarpun pasukannya ibarat menang dalam duka kerana sekadar muncul naib juara meskipun memenangi final kedua tersebut.
“Para pemain telah memberikan yang terbaik dan mereka tidak putus asa melakukan serangan bertali arus sejak minit pertama lagi. Begitupun apakan daya, kami sekadar mampu menjaringkan satu gol,” katanya.
No comments:
Post a Comment