Translate

Monday, October 2, 2017

Peniaga VCD rompak pengusaha taska dan memiliki pistol tanpa lesen dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga cakera padat video (VCD) dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku salah atas dua pertuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap seorang wanita dan memiliki senjata api di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Rofiah Mohamad memerintahkan demikian selepas Mohamad Adam Chong, 46, menukar pengakuan bersalah atas pertuduhan pindaan dan pilihan pada sebutan semula kes tersebut.
Mohamad Adam yang tidak diwakili peguam mengaku salah atas pertuduhan pindaan memiliki senjata api tanpa lesen mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, dia turut didakwa mengikut Seksyen 392 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau dengan denda dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Adam didakwa merompak seorang pengurus taska berusia 44 tahun dengan bersenjatakan sepucuk pistol di dalam kereta Volkswagen Passat milik mangsa di Kawasan Perindustrian Kecil dan Sederhana Chendering di sini pada pukul 9 pagi, 31 Disember 2016.
Tertuduh juga didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Smith and Wesson dan empat butir peluru hidup tanpa memiliki lesen sah. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment