Translate

Friday, October 20, 2017

Penghormatan buat nelayan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) yang julung-julung kali diadakan pada tahun ini merupakan penghormatan besar terhadap golongan tersebut yang sebelum ini sering dianggap sebagai wira tidak didendang.
Pengerusi Nekmat, Ahmad Rudin Hussain berkata, penganjuran GNN bukan sahaja bertujuan untuk meraikan sumbangan nelayan terhadap negara malah diharap mampu mengubah stigma masyarakat terhadap kerjaya sebagai nelayan.

“Pengunjung GNN dapat mengetahui kehidupan harian nelayan di laut dan daratan menerusi 66 aktiviti yang telah diaturkan sepanjang penganjuran program tersebut sehingga Sabtu ini (esok).

“Golongan nelayan pula boleh mempelajari teknologi baharu penangkapan ikan selain  mendapatkan perkhidmatan ditawarkan kepada mereka di gerai-gerai pameran agensi kerajaan dan swasta,” katanya ketika ditemui di tapak program GNN di Pantai Kuala Kerteh dekat sini semalam.
Turut hadir pada program tersebut ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Rudin berkata, kehidupan seorang nelayan yang sering dikaitkan dengan kemiskinan telah banyak berubah pada masa ini hasil keprihatinan dan usaha berterusan kerajaan.

Menurut beliau,  antara bantuan yang telah diberikan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan kebajikan nelayan ialah pemberian elaun sara hidup antara RM250 hingga RM300 sebulan, insentif penangkapan ikan antara 10 sen dan 20 sen sekilogram, insurans nelayan dan projek khas perumahan.

“Nelayan juga menerusi persatuan nelayan kawasan juga semakin banyak terlibat dalam aktiviti hiliran seperti penghasilan produk berasaskan makanan laut dan pembukaan medan ikan bakar bagi menambah pendapatan masing-masing.

“Boleh dikatakan aktiviti penangkapan ikan moden merupakan sumber kekayaan baharu dan masyarakat terutama generasi muda perlu membuka mata terhadap kerjaya sebagai nelayan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Rudin memberitahu seramai 20,000 nelayan dari seluruh negara akan berhimpun pada majlis perasmian GNN oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Hamidi pagi esok.
Beliau berkata, sebanyak 700 bot nelayan akan berarak memasuki Sungai Kerteh dari Pantai Kuala Kerteh pada majlis tersebut sebagai simbol penghargaan terhadap usaha kerajaan menganjurkan GNN.

No comments:

Post a Comment