Translate

Wednesday, October 25, 2017

Banteras pencerobohan hak nelayan tempatan

KEMAMAN – Kerajaan mahu hak nelayan tempatan terus dilindungi menerusi pemerkasaan aktiviti penguatkuasaan oleh pasukan keselamatan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, agensi pasukan keselamatan negara seperti Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia perlu meningkatkan lagi kerja-kerja penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

“Negara kehilangan kira-kira RM3 hingga RM6 bilion setiap tahun akibat pencerobohan melibatkan nelayan-nelayan asing.
“Hasil laut merupakan sumber protein utama bagi seluruh rakyat negara ini dan ia harus dilindungi daripada terlepas ke tangan nelayan-nelayan asing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 di Pantai Kuala Kertih di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid juga  berkata, nelayan tempatan terutama bagi Zon A dan B juga diminta agar menghormati zon masing-ma­sing dengan tidak memasuki kawasan nelayan tradisional di pesisir pantai.

Beliau berkata, kesemua nelayan telah dibahagikan mengikut zon iaitu Zon A, B atau C dan mereka sepatutnya akur dan tidak melepasi kawasan tangkapan ikan yang dibenarkan.

“Saya juga meminta para nelayan laut dalam supaya membawa hasil tangkapan mereka ke dalam negara dan bukanlah dijual di tengah laut kepada peraih negara asing kerana ia sememangnya langkah yang merugikan pendapatan negara,” ujarnya.

Ahmad Zahid berkata, nelayan tempatan juga diseru memasang Sistem Identifikasi Automatik (AIS) sama ada diberikan secara percuma atau dibeli kerana ia bertujuan memastikan keselamatan mereka di zon-zon tertentu mengikut permit masing-masing supaya dapat dipantau oleh agensi penguat kuasa.

Jelas Ahmad Zahid, pemasangan AIS turut menjadi bukti penting dari segi perundangan jika terjadinya sebarang kes melepasi kawasan sempadan air atau pencerobohan nelayan asing.

No comments:

Post a Comment