Translate

Saturday, October 21, 2017

Skuad sukarelawan KESAN dilancar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KEMAMAN – Kumpulan Keselamatan Nelayan (KESAN) yang berperanan sebagai pasukan penyelamat sukarela  untuk membantu golongan itu apabila menghadapi bencana dan kemalangan dilancarkan sempena program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 semalam.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata,  penubuhan skuad KESAN tersebut merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu nelayan yang berhadapan dengan bencana alam atau kemalangan di laut dan daratan.

Beliau berkata, KESAN merupakan gabungan antara dua pasukan sukarelawan iaitu Sukarelawan (Super) dan Kumpulan Keselamatan Nelayan (Kukenal) yang masing-masing dikendalikan Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebelum ini.

“Gabungan kedua-dua kumpulan ini (Super dan Kukenal) bertujuan meningkatkan lagi sinergi bagi  memantapkan kecekapan dan keberkesanan aktiviti keselamatan di kawasan nelayan.
“KESAN berperanan sebagai organisasi sukarelawan cekap dalam misi operasi bencana alam dan mencari serta menyelamat bagi kemalangan  di laut dan daratan terutama melibatkan nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan KESAN pada program GNN di Pantai Kuala Kerteh dekat sini semalam.

Ahmad Shabery berkata, setakat ini, KESAN dianggotai oleh 8,500 nelayan di seluruh negara.

“Anggota KESAN akan menerima latihan kemahiran keselamatan di laut seperti penggunaan peranti terapung peribadi, teknik menyelamat mangsa di laut, teknik balutan dan latihan pertolongan cemas penafasan dari mulut ke mulut.

“KESAN juga berganding bahu dengan Tentera Laut Diraja Malaysia menerusi Strategi Laut Biru Kebangsaan dalam penggunaan sistem Kesedaran, Keselamatan Komuniti Maritim (K3M) yang merupakan aplikasi komunikasi mobil yang berperanan sebagai saluran komunikasi antara nelayan dan agensi penguatkuasaan,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, sistem K3M turut berperanan mengumpulkan maklumat awam secara lebih pantas bagi memastikan keselamatan perairan negara.
Menurut beliau, ia juga membolehkan nelayan menghantar isyarat kecemasan, menghantar aduan, menghubungi agensi penguat kuasa dan menyemak ramalan cuaca serta pasang surut air laut.

“Selain itu, ahli KESAN turut dibekalkan dengan kemudahan peralatan keselamatan seperti lampu pelayaran, alat pemadam api, pelampung serta jaket keselamatan dalam menjalankan misi dan bantuan kemanusiaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment