Translate

Monday, October 23, 2017

Integriti teras reputasi universiti


KUALA LUMPUR – Reputasi universiti akan berada pada tahap tinggi jika berjaya mendidik, mengasuh, membimbing dan menghasilkan graduan yang berintegriti.

Canselor Universiti Malaya (UM), Sultan Nazrin Muizzudin Shah bertitah, integriti dan kepimpinan berintegriti amat penting dalam sesebuah organisasi dan negara kerana memiliki integriti yang tinggi adalah sebahagian daripada sifat ilmuwan.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen UM ke-57 di Dewan Tunku Canselor di sini semalam. Seramai 4,867 graduan menerima ijazah pada istiadat konvokesyen itu yang bermula semalam hingga 24 Oktober ini.
Di Putrajaya, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga merupakan Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL) hadir pada majlis konvokesyen universiti itu ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam.

Majlis konvokesyen itu meraikan kejayaan 8,100 graduan UniKL yang menamatkan pengajian di peringkat sijil profesional, diploma, ijazah dan doktor falsafah.
Di Alor Setar, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berangkat pada Istiadat Pema­syhuran Canselor dan Konvokesyen ke-19 Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah.
Di Kuala Nerus, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang pada majlis konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kesembilan semalam.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UniSZA berkenan menyampaikan ijazah kehormat berkenaan kepada Mohamed Apandi, 67, atas sumbangan beliau dalam perkembangan perundangan dan kehakiman negara.
Sementara itu, pada majlis konvoke­syen Kolej Universiti Geomatika (KUG) ke-13 di Hotel Premiera, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini semalam, seramai 1,037 graduan menerima sijil, diploma dan ijazah masing-masing yang disampaikan oleh Canselornya, Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Hadir sama Mentari Kewangan Ke­dua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

No comments:

Post a Comment