Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD
DUNGUN - Seorang wanita maut manakala empat lagi ahli keluarganya cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 67.8, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Kuala Abang dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.40 pagi itu, Shairani Su, 50, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah ke kepala dan beberapa anggota badan.
Dua anak wanita terbabit iaitu Wan Shazwan Alif Wan Husin, 23, dan Wan Shakir Wan Husin, 10, serta abangnya Rohimi Su, 53 dan ibu saudaranya, Amnah Seman, 72 pula mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Mohd. Zailani Yaakob berkata, sewaktu kejadian, kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux yang dinaiki kesemua mangsa dalam perjalanan ke rumah saudara mereka di Balai Besar di sini dari Kampung Santan Baruh, Kangar, Perlis.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux yang dipandu Wan Shazwan Alif tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas sebelum terbalik.
"Shairani yang duduk di tempat duduk penumpang belakang tercampak keluar sejauh beberapa meter dari kenderaan itu sebelum meninggal dunia akibat kecederaan parah," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Zailani berkata, mayat Shairani telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat.
"Empat mangsa lain yang cedera parah juga telah di bawa unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment